Salam Maulidur Rasul 1441H

Album perkongsian di Google Photos

Kongsikan
Foto merakamkan pelbagai kenangan buat kita semua dan kenangan itu pasti mahu dikongsikan bersama individu penting dan juga untuk tatapan orang terdekat.

Kaedah efisien untuk berkongsi foto ialah melalui aplikasi Google Photos, bukannya melalui aplikasi perbualan seperti WhatsApp dan Telegram seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang.

Baca artikel ini sampai habis dan praktikkan amalan terbaik ini di dalam pengurusan foto.


“Apa yang saya suka tentang foto adalah merakam momen yang hilang buat selama-lamanya, ianya mustahil untuk dihasilkan semula.”

Pengenalan

Sebagai pengenalan untuk topik ini tentang bagaimanakah perkongsian efisien yang sepatutnya menjadi amalan, kita bandingkan antara amalan terbaik (best practice) dengan kebiasaan yang selalu dibuat oleh orang ramai.

Situasi yang sering dihadapi

  1. Memiliki telefon yang mahal dengan kamera berkualiti tetapi sayangnya berkongsi foto di WhatsApp pada kualiti yang rendah.
  2. Bagi yang mengetahui kelebihan Telegram, berkongsi pula di situ kerana aplikasi itu tidak menurunkan kualiti foto, masih menjaga kualiti asal, tetapi masih ada kelemahan dari segi perkongsian.
  3. Kelemahan paling ketara apabila berkongsi foto di aplikasi perbualan ialah aplikasi tersebut tempat untuk bersembang, foto akan jatuh jauh kebelakang apabila seorang demi seorang menghantar mesej. Apabila mahu mencari kembali foto berkenaan perlu semak pada media.
  4. Ada juga individu yang suka simpan perbualan bagi tempoh yang lama, cara saya tidak, saya simpan perbualan tidak sampai 6 bulan, kebiasaannya selesai sesuatu isu saya akan clear chat.
  5. Media di dalam aplikasi perbualan kita boleh klasifikasikan sebagai bahan sementara sahaja, tidak penting untuk disimpan lama, ianya sembang-sembang kosongkan, kenapa mahu simpan lagi apabila sudah selesai perbincangan.
  6. Perkongsian melalui file sharing, Bluetooth dan AirDrop adalah tidak praktikal, kaedah lama kerana peranti perlu dihubungkan antara satu sama lain, ia tidak bebas.

Situasi di atas adalah perkara biasa kerana ia mudah, tidak perlu memikirkan kaedah lain. Soal kualiti bagus atau tidak, janji foto boleh nampak kira boleh jalan. Tetapi, kaedah yang diterangkan berikut adalah cara yang sangat membantu dan dapat membuka fikiran anda bahawa cara yang efisien jauh lebih bagus.

Sejauh mana efisien Google Photos?

  1. Perpustakaan foto (photo library) adalah keseluruhan foto yang telah disandarkan pada Google Photos.
  2. Bagi memudahkan pengurusan kita mencipta album. Album boleh dikongsikan ataupun tidak, terpulang pada anda sendiri.
  3. Album yang dikongsikan dinamakan sebagai album perkongsian (shared album).
  4. Album perkongsian melibatkan dua pihak iaitu pihak pertama adalah orang yang mencipta album tersebut dipanggil pemilik (owner). Pihak kedua pula ialah ahli yang menyertai album perkongsian.
  5. Pemilik album perkongsian boleh melakukan suntingan album pada bila-bila masa iaitu boleh menambah teks, peta dan pin lokasi.
  6. Pemilik album juga memiliki kuasa penuh untuk membenarkan kolaborasi dan komen, tetapan ini boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut kehendak pemilik.
  7. Ahli di dalam album perkongsian pula boleh menambah foto dan disamping itu ahli lain dapat mengetahui siapa yang tambah dan masing-masing boleh menyimpan (save) foto berkenaan ke dalam perpustakaan foto di Google Photos masing-masing.
  8. Jika ada orang lain selain ahli mahu melihat foto, salin pautan yang terdapat pada tetapan album untuk menjemput orang lain masuk, bagi pautan itu di aplikasi perbualan, apabila mereka klik terus dibawakan ke album tadi dan terdapat butang sertai (join) jika mereka mahu berbuat demikian.
  9. Seseorang yang belum lagi memasang (install) Google Photos pada telefon, apabila klik pautan perkongsian akan dibawa masuk ke album melalui pelayar web seperti Chrome atau Safari.
  10. Saya suka cipta album perkongsian sebelum sesuatu acara berlaku, contohnya mahu melancong keesokan hari, sehari sebelum pergi sudah dibuat album perkongsian dan terus tambah ahli. Jadi, semasa sedang melancong boleh menambah foto ke dalam album sedikit demi sedikit, masing-masing ahli berbuat demikian, cara ini sangat efisien.
  11. Kenapa saya mahu kolaborasi ini dilakukan dengan pantas sebab kebiasaannya kami (merujuk kepada kumpulan yang melancong atau menghadiri acara bersama) tidak boleh menunggu foto diserahkan lambat, masing-masing sibuk bertanya mana foto itu dan ini, mahu tayang di sosial media, mahu tunjuk pada kawan-kawan dan sebagainya.
  12. Foto di dalam album juga boleh ditambah komen, jika mahu berbincang tentang foto itu, komen sahaja.
  13. Juga terdapat butang suka (like) pada setiap foto untuk reaksi.
  14. Selepas beberapa tempoh masa berlalu, misalnya setelah sebulan melancong terdapat foto yang lupa untuk ditambah sebelum ini, ingin menambahnya, anda tambah dan ahli lain terima notifikasi serta-merta, begini maksud saya efisien, pengurusan foto dibuat dengan begitu cekap sekali.
  15. Setiap masa ada sahaja foto baharu yang diambil, pastinya perpustakaan foto memiliki jumlah foto yang begitu banyak tetapi sangat lega kerana telah diuruskan dengan baik, carian mudah untuk dilakukan.
  16. Album dapat memudahkan anda mencari foto mengikut label yang anda sendiri tentukan, banyak peristiwa yang berlaku banyak juga album anda boleh buat. Selain itu, untuk mencari sesuatu foto boleh menggunakan fungsi carian.
  17. Carian yang efektif di dalam Google Photos adalah pengecaman muka, setiap muka individu yang terdapat di dalam perpustakaan foto boleh diletakkan nama supaya akan datang apabila anda taip sahaja nama individu itu terus ditunjukkan foto berkaitan.
  18. Carian berdasarkan tarikh, taip tarikh lengkap jika anda tahu atau bulan berserta tahun ataupun tahun sahaja, ikut suka yang mana anda rasa mudah.
  19. Geolocation wajib dibenarkan supaya setiap foto menyimpan maklumat lokasi dan dengan cara itu carian berdasarkan lokasi boleh dibuat.
  20. Sejarah menjejaki lokasi (location history) pada peranti hendaklah dibenarkan kerana salah satu kepentingannya ialah anda tahu secara terperinci pukul berapa di lokasi ini, pukul berapa pula di lokasi seterusnya. Bagi saya yang selalu menulis blog, senang untuk melakukan semakan ketika menulis catatan perjalanan.
  21. Kebijaksanaan aplikasi melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence) dapat melakukan carian subjek seperti perbuatan, suasana dan sebagainya. Contoh seperti anda taip carian memasak, akan keluar foto sedang memasak.
Album Perkongsian

Begitulah kecekapan pengurusan foto yang dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian, apabila kita buat sesuatu perkara itu fikir jangka panjang, bagi jadi mudah dan pantas.


Akhirnya, kesemua foto bersama

Kumpul foto bersama rakan dan keluarga menerusi album perkongsian. Jadi, anda tidak terlepas lagi momen, tidak kira apa jua peranti setiap orang miliki.

Album Perkongsian

Tetapan dan Sandaran

Sebelum melakukan perkongsian, perkara pertama yang wajib dibuat selepas memasang aplikasi Google Photos ialah tetapan (settings) dan sandaran (backup) yang betul.

Rujuk artikel di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.

Pengurusan Foto di Dalam Telefon Pintar

Foto di dalam telefon pintar jika dibiarkan begitu sahaja pasti akan memenuhi ruangan storan dalaman peranti sehinggalah penuh dan tiada lagi ruang untuk digunakan.


Pengurusan Album

Album adalah koleksi foto yang dikumpulkan mengikut peristiwa atau topik yang mahu diceritakan.

Jenis album

Terdapat dua jenis album di dalam Google Photos iaitu:

  • Album Biasa: Album yang dibuat sebelum berkongsi ataupun album itu tidak mahu dikongsikan, hanya seorang pengguna sahaja yang dapat akses.
  • Album Perkongsian: Album yang disertai oleh orang lain kerana melakukan kolaborasi atau boleh juga ahli-ahli lain sekadar sertai untuk melihat foto.
Album
Jenis Album
Perbezaan antara dua album ini, album di sebelah kiri dilabelkan dengan perkataan shared, menunjukkan itu adalah album perkongsian. Manakala, album di sebelah kanan tidak dilabelkan kerana ia adalah album biasa.

Pengecaman muka dan tambah label

Google menerusi kecerdasan buatan mampu untuk membuat pengecaman muka terhadap individu yang terdapat di dalam foto, segala perubahan yang berlaku pada bahagian muka seperti penuaan, pemakaian alat solek, aksesori dan sebagainya masih dapat diteka dengan tepat, ada salah tetapi jarang.

Oleh itu, pemakaian label seperti di bawah amat penting supaya mudah membuat carian nama.

Label Nama

Tip: Bagi memudahkan kerja memasukkan label nama, sebenarnya saya seragamkan dengan nama seperti di dalam Google Contacts, apabila senarai kenalan lengkap anda juga mudah mencari, taip sedikit sahaja sudah keluar senarai.

Lagi satu perkara, apabila kenalan pada Google Contacts terdapat first name dengan surname, carian bertambah cepat, taip nama keluarga terus keluar senarai adik beradik atau anak-anak dengan nama bapa yang sama. Perkara mudah seperti ini orang tidak ambil peduli, macam-macam nama samaran digunakan pada senarai kenalan, akhirnya carian tidak efisien.

Info Tambahan

Sebenarnya susunan label nama di atas bukan suka-suka, ia disusun mengikut jumlah foto di perpustakaan foto, individu dengan jumlah foto paling banyak bermula dari atas dan mengikut turutan seorang demi seorang.

Butiran pada foto

Apabila melihat butiran mengenai sesuatu foto, ditunjukkan nama seperti yang telah dilabelkan sebelum ini.

Siapa di dalam foto
Butiran yang lengkap pada metadata amat mustahak, lihat pada tangkap layar di atas dipaparkan tarikh dan masa, keterangan dan nama individu, terdapat juga peta lokasi dan saiz fail pada bahagian bawah cuma tidak nampak, tangkap layar ini saya mahu tunjukkan label nama.
Menu pilihan di dalam foto
  • Add to album: Tambah foto ke dalam album yang sedia ada.
  • Archive: Mengasingkan foto ke bahagian arkib.
  • Save to device: Simpan foto ke dalam storan dalaman peranti.
  • Open in Snapseed: Membuka foto di aplikasi Snapseed untuk suntingan.
  • Save as PDF: Menjadikan foto di dalam format PDF.

Butang pada foto

Butang Pada Foto
  • Kongsi: Inilah butang perkongsian untuk berkongsi foto.
  • Sunting: Sunting foto adalah keupayaan melakukan suntingan ringkas bagi menambah baik keadaan foto seperti mengaplikasikan pratetap (preset), mengubah kecerahan, tona warna, kontras dan memotong (crop) foto kepada saiz yang dikehendaki.
  • Google Lens: Teknologi pengecaman imej yang dibangunkan oleh Google, menerusi teknologi ini kita mencari apa yang kelihatan pada sesuatu imej, contoh di dalam foto di atas, pokok apa yang berada di belakang, boleh guna fungsi ini untuk mendapatkan jawapan.
  • Padam: Membuang foto ke dalam tong sampah (bin).
  • Kegemaran: Apabila butang kegemaran (favorite) digunakan, foto tersebut disenaraikan pada ruangan foto kegemaran, mudah bagi melihat berulang kali foto yang disukai.

Carian foto dengan bijak

Foto yang banyak misalnya berjumlah 25,000 di perpustakaan foto, mencari foto yang dikehendaki adalah mudah dengan syarat anda bijak menguruskan dengan baik, anda hendaklah pandai menggunakan kata kunci semasa mencari, album apa yang ada, siapa nama orang yang anda mahu cari dan sebagainya.

Carian

Mari lihat beberapa contoh carian di bawah.

Carian Nama
Begini cara carian nama yang mudah, taip sahaja nama keluarga akan ditunjukkan senarai ahli yang ada. Label nama adalah perkara yang penting, jika label tidak betul, tidak boleh buat begini.
Carian Tahun
Carian tahun juga boleh dibuat. Contoh di atas menunjukkan hanya terdapat 4 bulan foto bagi tahun 2017.
Carian Album
Carian subjek keluarga, oleh kerana perkataan keluarga telah digunakan sebagai nama album, ditunjukkan album tersebut pada hasil carian.
Carian Snorkelling
Carian untuk subjek snorkelling sebagai contoh, kesemua media (foto dan video) yang berkaitan muncul pada keputusan carian.

Begitulah antara contoh yang boleh dibuat bagi membantu anda mencari foto yang dikehendaki.


Album Perkongsian

Album Perkongsian

Aspek pengurusan foto telahpun diterangkan, sekarang mahu sentuh tentang perkongsian album.

Cara perkongsian dibuat

Memulakan perkongsian

Memulakan perkongsian album sangatlah mudah, hanya 4 langkah sahaja seperti di bawah.

Buat Album Kosong

Perkongsian Album

Tambah Foto

Perkongsian Album

Pilih Options

Kongsikan Album

Perkongsian Album

Jika anda hanyalah seorang ahli di dalam album iaitu bukan pemilik, anda masih boleh menjemput orang lain masuk. Pergi ke bahagian options untuk salin pautan perkongsian.

Pautan Album Perkongsian
  • Pautan perkongsian (Link for sharing): Salin pautan tersebut dengan cara klik copy link kemudian anda boleh mesej pautan itu kepada sesiapa sahaja.
  • Kolaborasi (Collaborate): Fungsi ini hanya pemilik album yang dapat lihat, jika dibenarkan (enable) bermakna ahli dapat melakukan kolaborasi iaitu memuat naik foto masing-masing ke dalam album.
  • Komen & suka (Comments & likes): Fungsi ini jika dibenarkan oleh pemilik, ahli boleh membuat komen pada foto.

Menambah foto

Langkah sebelum ini jika hendak memulakan album, tetapi apabila anda sudah berada di dalam album perkongsian hanya tambah foto yang hendak dikongsikan.

Ciri-ciri yang terdapat pada album perkongsian

Ciri-ciri asas

Tajuk album, tarikh foto dan butang untuk tambah foto adalah ciri-ciri asas yang ada pada semua album termasuklah album yang tidak dikongsikan. Senarai ahli, komen dan butang simpan ke perpustakaan (save to library) hanya terdapat pada album perkongsian.

Ciri-ciri Asas Album Perkongsian
  1. Tajuk album.
  2. Tarikh foto.
  3. Senarai ahli di dalam album perkongsian bermula dengan pemilik album di hadapan.
  4. Tiga butang iaitu untuk menambah foto, komen dan simpan ke perpustakaan.

Simpan ke perpustakaan adalah ciri untuk menyimpan foto yang dimuat naik oleh ahli lain kerana foto berkenaan mahu disimpan ke perpustakaan foto sendiri.

Suntingan album

Menu Suntingan Album

Butang suntingan album bermula dengan pilihan untuk tambah foto, teks, lokasi atau peta dan juga mengisih susunan foto di dalam album seperti di bawah.

Pilihan Suntingan Album
  • Tambah foto (Add photos): Tambah foto bila-bila masa yang anda mahu.
  • Teks (Text): Salah satu ciri yang saya gemari iaitu boleh menambah teks. Teks adalah ruangan bagi menulis penerangan, terpulang pada anda mahu tulis apa, tiada had kerana saya biasa menulis seperti artikel di dalam album.
  • Lokasi (Location): Pin lokasi yang ditambah sebagai pemisah antara foto di dalam album bagi menunjukkan lokasi foto berkenaan.
  • Peta (Map): Peta yang ringkas, pergerakan dari satu lokasi ke destinasi, tambahan visual ini memberikan album kelihatan menarik.
  • Mengisih (Sort): Mengatur susunan foto berdasarkan kepada 3 kriteria iaitu paling lama dahulu (oldest first), paling baharu dahulu (newest first) atau foto baharu tambah (recently added). Kebiasaannya saya lebih suka menggunakan foto paling baharu dahulu, maknanya foto paling lama berada di bawah.
Mengisih dan tambah peta
Fungsi mengisih dan tambah lokasi atau peta pada album.

Contoh album

Contoh tambahan peta pada album
Peta adalah salah satu elemen yang ada di dalam album, sedikit sebanyak ia dapat membantu anda bercerita.

Berikan album itu hidup dengan menambah keterangan atau cerita supaya segala perkara yang berlaku betul-betul dicatatkan dengan baik.

Adi Azudin
Contoh album berserta teks dan nama ahli
Terdapat nama ahli pada setiap foto yang bermakna foto berkenaan ditambah oleh ahli tersebut.
Selepas menggunakan album perkongsian, berkongsi foto adalah sesuatu yang sangat ringkas dan tersusun.
Google Photos

Google Photos

Dapatkan aplikasi foto bagi membantu anda sekarang

Kesimpulan

Amalan terbaik di dalam perkongsian foto boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja, bukan khusus kepada golongan jurugambar. Saya menulis ini dengan harapan untuk menjadikan pembaca yang setelah membaca panduan ini terus menukar amalan sebelum ini kepada amalan terbaik.

Saya mahu keluarga saya, saudara-mara, rakan-rakan yang melancong bersama faham keperluan ini, apabila minta perkongsian foto masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan.

Saya amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Ikuti saya di Twitter untuk berhubung.

Adi Azudin

Menulis tutorial sejak 2014 sebagai panduan untuk diri sendiri dan akhirnya berkongsi panduan berkenaan di blog ini.

Panduan lain untuk dibaca

1 Respon

  1. 29 Sep 2019

    […] album dan beberapa perkara lain di dalam Google Photos diterangkan dengan jelas pada artikel Album perkongsian di Google Photos. Artikel ini saya mahu fokus kepada langkah untuk menjimatkan storan dalaman telefon anda […]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penafian: Beberapa pautan pada blog ini adalah pautan afiliasi. Segala pautan ini adalah tidak memberikan anda sebarang kos tambahan, saya akan mendapat peratusan yang kecil iaitu komisen jika anda membuat pembelian dan saya hanya mengesyorkan produk yang terbaik!