Rakan Blogger
Rakan Blogger
Aplikasi Kreatif Featured

Aplikasi kreatif dengan tawaran harga yang berbaloi

Langganan bulanan bagi Aplikasi Kreatif Adobe ialah sebanyak RM250 untuk kesemua aplikasi yang ditawarkan. Serif pula menawarkan harga yang sangat kompetitif dalam persaingan ini.

Aplikasi kreatif selama ini didominasi oleh syarikat Adobe sejak zaman 90-an lagi. Kini Adobe masih lagi unggul tetapi kita semua sedia maklum bahawa kos menggunakan aplikasi Adobe adalah menerusi langganan RM250 sebulan atau bersamaan RM3,000 setahun yang perlu ditanggung oleh golongan kreatif. Rujuk kepada Creative Cloud Plans & Pricing.

Alternatif untuk kurangkan perbelanjaan bulanan

Serif Ltd sebuah syarikat pembangun perisian yang bertapak di Nottingham, United Kingdom telah mengeluarkan rangkaian Affinity App bermula dengan Affinity Designer pada Oktober 2014, Affinity Photo pada tahun berikutnya dan Affinity Publisher pada 2019.

  • Affinity Designer adalah lawan kepada Adobe Illustrator bagi menghasilkan grafik vektor.
  • Affinity Photo pula adalah aplikasi suntingan foto, lawan kepada Adobe Photoshop.
  • Affinity Publisher ialah aplikasi susun atur bahan cetak seperti Adobe InDesign.

Harga aplikasi Affinity

Harga bagi setiap aplikasi Affinity ialah RM199.90 sahaja (sekali bayar bukan langganan). Jadi kos keseluruhan untuk 3 aplikasi menjadi RM599.70. Kos begini jauh lebih kompetitif berbanding Adobe kerana hanya sekali bayaran dan guna seumur hidup. Kami golongan kreatif setuju dengan harga ini cuma masih berharap agar Adobe turunkan harga langganan bulanan atau buat pakej bayar sekali untuk satu versi.

Aplikasi Affinity sudah sedia secara natif untuk cip M1

Berita baik dan perkembangan yang sangat pantas sekali kerana aplikasi Affinity sudah sedia secara natif untuk pengguna Mac dengan cip M1. Baca berita ini Affinity apps accelerate with macOS Big Sur and native M1 support.

Adobe hanya baru tersedia dengan Lightroom yang sudah natif untuk cip M1. Photoshop masih diperingkat beta dan yang lain-lain akan sedia pada awal tahun hadapan. Perkembangan yang baik untuk Affinity dari segi ini kerana cepat menyokong cip baharu keluaran Apple.

Adakah saya mahu tinggalkan aplikasi Adobe

Persoalan yang rumit kerana sudah 15 tahun mahir dengan aplikasi Adobe. Jadi bukan boleh ditinggalkan secara drastik. Cuma saya akan beli aplikasi Affinity Designer dahulu untuk dibandingkan dengan Adobe Illustrator. Setelah berpuas hati baharu boleh pertimbangkan untuk kurangkan perbelanjaan bulanan Adobe. Tunggu selepas saya beralih kepada Mac baharu dengan cip M1.

Kesimpulan

Serif bersaing dengan Adobe adalah situasi yang sangat baik, sebagai pengguna kita memiliki pilihan. Tempoh 6 tahun masih lagi awal untuk aplikasi Affinity kerana pasaran Adobe masih lagi besar. Saya kena cuba dahulu untuk beberapa projek bagi menyatakan ia benar-benar berkuasa ataupun tidak.

Saya amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Ikuti saya di Twitter dan saluran Adi Azudin.