Idea Menulis Featured
Foto oleh Dragon Images di Shutterstock

Menjana idea menulis blog

Cara untuk menjana idea ialah banyakkan membaca disamping mengetahui bahagian teknikal. Apabila sesuatu topik disampaikan dengan baik, insha'alLah pembaca dapat memahami.

Saya juga seperti penulis lain yang kadangkala kebuntuan idea untuk menulis. Ia lumrah sebagai manusia, cuma bagaimanakah cara untuk mengatasinya yang menjadikan seseorang itu dapat berfikir di luar kotak, menjadi kreatif lebih daripada orang lain.

Pengalaman blogging

Saya berblog sejak 2014, sudah cukup 5 tahun tetapi apabila anda semak arkib penulisan yang telah dihasilkan setakat hari ini, 16 Januari 2020, baharu terdapat 34 artikel. Kenapa sedikit sangat?

Sedikit disebabkan telah dibuang artikel lama yang tidak berkualiti. Sekarang apa yang anda dapat lihat adalah artikel berkualiti untuk dibaca. Biasalah, itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, artikel yang diterbitkan pada tahun pertama tidak sempurna – penyampaian cerita yang kurang baik, ditambah dengan pengalaman teknikal yang kurang pada ketika itu.

Pada tahun 2017, saya mula berfikir untuk memisahkan artikel dalam topik pelancongan kepada domain lain supaya blog dibuat pengkhususan – Tutorial dan Pelancongan dalam domain yang berasingan, bermulalah Travelholic.my selepas itu.

Perkara ini sangat penting, pengalaman blogging sejak awal dahulu yang membuatkan seseorang itu dapat menjana idea dengan mudah sekarang.

Menguruskan blog dengan baik

Walaupun artikel jarang diterbitkan, saya menguruskan blog dengan baik. Itu adalah tanda pentadbir laman masih komited terhadap perkara yang dihasilkan. Mungkin orang di luar sana atau kawan lama menganggap blog dia sudah mati. Jika betul-betul mati, domain ini sudah terkubur.

  • Domain dan hosting dibayar setiap tahun.
  • Pemalam berbayar juga ditanggung setiap tahun.
  • Pendapatan Google AdSense sentiasa berjalan.

Oleh itu, tiada sebab untuk meninggalkan blog kerana ia tidak gagal. Kos tahunan hosting ditanggung oleh blog ini sendiri.

Perbandingan tugas otak kiri dan kanan

Tugas otak kiri dan kanan

Gaya penulisan

Saya lebih menggemari artikel yang membincangkan aspek teknikal. Ia adalah pengaruh kerja, kerana melakukan kerja teknikal setiap hari.

  • Artikel teknikal boleh ditinggalkan selepas ia diterbitkan. Tetapi, jika terdapat maklumat baharu, kemaskini perlu dilakukan segera supaya ia kekal relevan.
  • Apabila menulis sesuatu panduan, sebolehnya panduan itu sempurna.
  • Saya kurang menggemari artikel yang dipecahkan kepada beberapa kiriman. Jika anda membuat rujukan terhadap artikel yang telah dihasilkan di dalam blog ini, kebanyakannya saya menulis artikel yang panjang bagi sesuatu topik.
  • Artikel yang panjang memakan masa lama untuk ditulis kerana mencari bahan-bahan sokongan seperti imej dan membuat tangkap layar yang mahu digunakan. Tetapi hasilnya sangat baik kerana kandungan yang lengkap.
  • Artikel begini, melalui pemerhatian saya ia cepat menaiki kedudukan di halaman carian Google.
  • Artikel seperti Kelebihan BigPay telah memberikan pulangan yang baik. Referral reward sahaja sudah mendapat RM430 setakat ini. Apabila melakukan semakan di Google Search Console, kata kunci “Kelebihan BigPay” yang membawa pelawat masuk ke artikel berkenaan.
  • Artikel Album perkongsian di Google Photos antara contoh artikel yang membincangkan topik itu secara keseluruhan sehingga habis di dalam satu kiriman sahaja.
  • Adakalanya jika anda pelawat setia blog ini, anda akan ternampak artikel yang menggunakan tajuk umum. Saya sengaja menerbitkan tajuk umum kerana artikel itu akan ditambah kandungan sedikit demi sedikit, memang sengaja dibuat.
  • Idea boleh datang secara tiba-tiba, saya sudah membuat draf. Kadangkala saya rasakan artikel itu sudah boleh diterbitkan dan akan menambah kandungan kemudian.
  • Contoh artikel pendapatan blog, belum habis lagi perkara yang hendak dibincangkan.
  • Saya menulis artikel lain untuk mencari idea baharu.

Topik yang mahu ditulis

Menulis hendaklah dilakukan secara semulajadi hasil pengalaman sendiri dan menjadi penulis berautoriti terhadap sesuatu topik.

Pernah dengarkan domain authority? Setiap domain juga diklasifikasikan kepada bidang kepakaran tertentu kerana kandungan yang dihasilkan relevan untuk bidang tertentu.

Menulis kisah hidup seharian seperti sebuah diari kehidupan di dalam blog adalah bukan cara saya mungkin untuk pemblog lain. Saya hanya mahu menjadi penulis yang memiliki autoriti dalam sesuatu topik kerana cara sedemikian lebih mudah untuk mendapat kedudukan dalam topik berkenaan.

Perbanyakkan artikel berguna yang boleh dipakai sampai bila-bila.

Kesimpulan

Idea menulis blog akan lebih mudah bagi pemblog yang sudah matang di dalam aktiviti blogging ini kerana semua itu bergantung rapat kepada pemikiran seseorang. Betapa luasnya pemikiran seseorang itu bergantung pula kepada amalan yang dilakukan. Ia berlaku secara langsung melalui aktiviti membaca dan juga amali.

Andaikan anda seorang pemblog yang baharu bermula. Kiriman pertama di blog pasti berbeza setelah anda berpengalaman menulis, perkara ini normal. Semakin banyak latihan dan pengalaman, semakin mudah idea dapat dijana dengan baik.

Apabila mahu menulis, semat baik-baik perkara ini iaitu tulislah kandungan terbaik dan berguna kepada pembaca. Supaya artikel yang dihasilkan itu tidak sia-sia, sekali sahaja ditulis ia boleh dipakai sampai bila-bila. Apabila sesuatu masalah berjaya diselesaikan, pembaca akan berminat untuk membaca lagi panduan lain yang akan kita hasilkan.

Idea menurut Kamus Pelajar adalah rancangan yang tersusun dalam fikiran.

Saya amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Ikuti saya di Twitter dan saluran Blogger Malaysia.