Media Sosial Featured
Foto oleh tum3123 di Shutterstock

Kurangkan masa di media sosial, lebihkan produktiviti

Tidak salah untuk berhubung dengan memberi reaksi, membaca cerita yang dikongsikan oleh kenalan di media sosial tetapi yang menjadi masalah ialah masa berlebihan diberikan kepada tujuan itu.

Apabila saya perhatikan sikap orang di sekeliling baik keluarga atau rakan-rakan, ada beberapa perkara yang boleh diklasifikasikan sebagai tabiat yang menjengkelkan seperti senarai di bawah.

Sikap yang menjengkelkan akibat terlampau melayan media sosial

1. Tidak boleh dengar notifikasi

Biasa melihat kawan-kawan yang pantas membelek telefon apabila berbunyi notifikasi, sedangkan pada ketika itu anda sedang rancak berbual bersama.

Ada juga yang keluar daripada bilik air ketika belum selesai mandi kerana mendengar bunyi notifikasi dan segera mahu melihat notifikasi tersebut. Orang berkenaan sudah memberi keutamaan yang lebih kepada segala interaksi yang berlaku di telefon, sepatutnya telefon kita hanya guna apabila rasa hendak guna.

2. Leka dengan telefon walaupun sedang bertemu

Apabila bertemu sudah tentu kita mahukan interaksi secara langsung. Jika masih sibukkan diri dengan telefon lebih baik jangan bertemu.

3. Tidak hormati waktu makan

Ketika hendak makan, makanan boleh bertukar menjadi sejuk dan masih belum dijamah. Saat paling menjengkelkan bagi saya ialah apabila melihat sisa makanan yang kering di tangan tetapi tangan itu sedang sentuh skrin telefon untuk berinteraksi di media sosial.

4. Galak menayang kehidupan harian

Menayang gaya hidup di media sosial biarlah berpada-pada jangan sampai perkara yang tidak sepatutnya juga ditayangkan kepada umum.

Jika anda tergolong di kalangan pencipta kandungan (content creator), jadilah pencipta yang bijak, menghasilkan kandungan yang baik. Pempengaruh (influencer) adalah seseorang yang memberikan inspirasi kepada orang lain bukan sebaliknya.

5. Tambah pengikut palsu

Akibat daripada galak menayang kehidupan harian, timbul pula tabiat menambah pengikut palsu. Bukan dilakukan oleh semua orang tetapi ada segelintir individu bersikap seperti ini untuk menarik perhatian umum kononnya dia boleh diiktiraf sebagai pempengaruh kerana ramai pengikut.

Pempengaruh yang sebenar menghasilkan kandungan berkualiti dan pengikut akan naik sendiri tanpa dipaksa.

6. Menjejaskan waktu tidur

Tidur yang sihat adalah tidur waktu malam yang cukup kerana kita menerima melatonin secara semulajadi, ia tiada pada waktu siang.

Sebolehnya, pukul 10 malam hingga 4 pagi adalah masa berkualiti untuk tidur dan menerima manfaat kesihatan kepada badan. Oleh itu, untuk tidur awal ialah elakkan gangguan media sosial, jangan sentuh telefon seeloknya berhenti sejam sebelum masa tidur.

Nota: Ramai golongan muda mengabaikan masa tidur kerana tidak tahu tentang kelebihan tidur malam untuk kesihatan.

7. Guna telefon ketika sedang dicaj

Jangan guna telefon yang sedang dicaj, biarkan sehingga bateri dicaj penuh. Abaikan sahaja segala mesej dan interaksi di media sosial seketika, bateri telefon juga perlukan masa untuk dicaj semula.

Ketika telefon sedang dicaj, masa untuk anda lakukan perkara lain.

Ini bermakna, waktu sesuai untuk media sosial

Waktu yang sesuai untuk melayan media sosial adalah ketika berhenti daripada tugasan penting.

  • Bukan waktu makan, habiskan makanan dahulu.
  • Bukan ketika bekerja kerana akan hilang fokus.
  • Bukan ketika melakukan pertemuan dengan seseorang.
  • Bukan juga waktu hampir dengan masa tidur kerana kita mahu menikmati tidur berkualiti bagi menjaga kesihatan.
Pempengaruh adalah seseorang yang memberikan inspirasi kepada orang lain bukan sebaliknya.

Kesimpulan

Mulai hari ini, selepas anda selesai membaca artikel ini lakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Kurangkan masa di media sosial, lebihkan produktiviti.

Saya amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Ikuti saya di Twitter dan saluran Blogger Malaysia.