Rakan Blogger
Rakan Blogger
Telegram Channel Featured

Penyiaran maklumat menggunakan Saluran Telegram

Saluran Telegram amat berguna sebagai alat untuk menyiarkan informasi kepada orang ramai kerana ciri-ciri pengurusannya amat baik ditambah pula boleh menerima pelanggan tanpa had.

Dunia permesejan berkembang dengan baik sekali sejak menggantikan khidmat pesanan ringkas suatu ketika dahulu. Sekarang sudah ada kumpulan perbualan (chat group) dengan ciri-ciri yang ditambah baik dari semasa ke semasa. Tetapi artikel ini bukan mahu menyentuh tentang kumpulan perbualan, lagi satu ciri terbaik di dalam aplikasi Telegram iaitu saluran (channel) yang dicipta dengan tujuan khusus untuk menyiarkan informasi kepada pelanggan (subscriber) anda.

Saluran Telegram

Kelebihan menggunakan saluran

  • Pelanggan saluran adalah tiada had.
  • Pelanggan yang baru sertai dapat melihat kesemua kiriman (post) yang terdapat di dalam saluran sejak awal. Maksudnya boleh scroll terhadap kirirman-kiriman terdahulu.
  • Pencipta (creator) dan pentadbir (admin) sahaja yang boleh membuat kiriman di dalam saluran.
  • Sebagai seorang pelanggan di dalam saluran, hanya boleh melihat sahaja berita yang dipaparkan.
  • Pada aplikasi terdapat butang Mute dan Discuss (linked group) sahaja. Untuk berbincang boleh ke linked group bagi saluran tersebut.
  • Jika sesuatu kiriman dibuang, ianya terhapus untuk semua pelanggan.
  • Jumlah paparan (views) bagi setiap mesej ditunjukkan di bahagian bawah penjuru kanan bersebelahan masa mesej dihantar.
  • Senarai pelanggan di saluran tiada sesiapa yang mengetahui melainkan pentadbir sahaja.
Contoh Saluran
Contoh menggunakan Telegram versi desktop sedang lihat saluran Informasi Keluarga, sebuah saluran khas untuk menyiarkan berita keluarga.

Baca: Broadcasting Done Right

Menguruskan saluran dengan cekap

Saluran yang diuruskan oleh pentadbir yang cekap tidak dapat elak daripada menggunakan dua ciri penting di bawah iaitu bot dan menyediakan tempat untuk pelanggan berbincang. Jika tidak menggunakan ciri-ciri ini, saluran yang anda uruskan tidak secekap yang diharapkan.

1. Menggunakan bot

Contoh Bot
Contoh bot yang digunakan iaitu Pengurus Saluran. Bot ini menguruskan tiga buah saluran iaitu Blogger Malaysia, Berita Travel dan Informasi Keluarga.

Bot adalah alat tambahan yang amat berguna kepada pentadbir. Pelbagai fungsi tambahan boleh ditambah dengan menggunakan bot seperti butang reaksi, butang komen dan juga butang untuk pergi ke sesuatu url. Tanpa bantuan bot, tiadalah ciri-ciri ini.

2. Sediakan kumpulan perbincangan

Antaramuka Saluran
Sebagai pelanggan di dalam saluran, jika nampak ada butang Discuss ia bermaksud saluran berkenaan menyediakan kumpulan perbualan untuk perbincangan lanjut.

Kumpulan perbincangan bagi saluran amat diperlukan. Pihak Telegram menyedari akan keperluan ini dan telahpun menyediakan fungsi linked group bagi pentadbir saluran yang memerlukan ciri ini. Apabila kumpulan perbincangan dibuat akan muncul butang Discuss bagi saluran berkenaan. Butang tersebutlah yang membawa pelanggan masuk ke kumpulan perbincangan. Setiap mesej yang disebarkan di saluran secara automatik dibawa ke kumpulan, cara ini membolehkan pelanggan berbincang jika kurang faham.

Kumpulan perbualan Telegram menyokong sehingga 200,000 ahli.

Tetapan untuk tambah kumpulan

  • Masuk ke bahagian Manage Channel seperti di bawah.
Tetapan Urus Saluran
  • Lihat pada Discussion. Contoh di bawah telah ditetapkan kumpulan bagi saluran ini. Jika anda mengurus saluran yang baharu, ruangan ini masih kosong.
Tetapan Discussion
  • Beginilah contoh ruang Discussion telah ditetapkan kumpulan. Oleh kerana ini adalah saluran peribadi khusus untuk keluarga, ia menggunakan private group. Public atau private bergantung kepada saluran masing-masing.
Tetapan Link Group

Cara sertai kumpulan

Setelah pihak pentadbir menetapkan kumpulan khusus untuk perbincangan. Pelanggan dapat melihat butang Discuss seperti di bawah.

Sertai Kumpulan
Klik butang Discuss dan anda akan dibawa terus ke ruangan kumpulan. Klik join untuk sertai kumpulan dan boleh juga membaca sahaja perbualan di dalam kumpulan tanpa sertai. Pilihan untuk sertai kumpulan di tangan anda, pihak pentadbir menyediakan ciri ini bagi memudahkan ahli yang mahu berbincang.

Sebagai pentadbir saluran, saya sarankan muat turun Telegram versi desktop untuk digunakan di komputer kerana lebih mudah bagi pentadbir menaip berita yang mahu dikongsikan dan segala ciri-ciri penting sedia digunakan sama seperti aplikasi di telefon pintar.

Telegram versi web kekurangan fungsi folder dan tiada animated sticker. Bagi pentadbir yang banyak menguruskan saluran atau kumpulan, ketiadaan folder amat menyukarkan.

Memilih saluran umum atau peribadi

Informasi Keluarga seperti tangkap layar di atas adalah saluran peribadi bukan untuk dilihat oleh umum. Oleh itu, saluran tersebut tidak disediakan pautan umum, ia boleh menggunakan pautan rahsia yang hanya dijemput oleh pentadbir. Manakala bagi saluran umum terdapat pautan yang boleh dikongsikan dan boleh dicari oleh orang ramai seperti saluran Blogger Malaysia menggunakan pautan t.me/bloggermy.

Memilih antara umum atau peribadi berdasarkan keperluan saluran yang anda bina.

Ada satu tip, bagusnya Telegram ini katalah anda seorang yang rajin membaca. Saluran umum Telegram boleh dilihat tanpa log masuk, tiada aplikasi Telegram pun boleh previu seperti pautan ini t.me/s/bloggermy (previu hanya ditunjukkan pada pelayar web).

Suapan berita di Telegram

Telegram hari ini adalah aplikasi permesejan paling menyeluruh.

  • Saluran: Boleh membaca berita menerusi saluran media tempatan. Mempelajari sesuatu topik menerusi saluran pendidikan yang diwujudkan oleh pempengaruh di luar sana – para guru, doktor, ahli farmasi, pereka web, jurufoto, penggiat YouTube dan ramai lagi boleh memainkan peranan masing-masing. Binalah pengaruh dan mendidik masyarakat di saluran masing-masing.
  • Kumpulan Perbualan: Kumpulan perbualan di Telegram boleh pula disambungkan dengan saluran yang membuatkan Telegram menjadi alat yang begitu ideal sekali.
  • Komen, Reaksi dan Pautan: Menerusi bot membolehkan fungsi komen, reaksi dan pautan digunakan di saluran dan di blog ini juga menggunakan comments widget oleh Telegram.

Apabila ketiga-tiga ciri ini ada di Telegram itu yang saya maksudkan fungsinya menyeluruh. Secara jujurnya Facebook dan WhatsApp bukan keperluan utama bagi saya sendiri, Telegram telah melangkah jauh ke hadapan dan ia adalah app yang ringan tetapi fungsi yang dimiliki cukup banyak.

Kelebihan lain Telegram seperti menyokong muat naik fail sehingga 2GB dan bakal melancarkan fungsi panggilan video pada hujung tahun ini akan saya tulis di artikel lain.

Saluran yang berjaya

Saluran yang berjaya ialah saluran yang lengkap penyebaran maklumat atau berita yang mahu disampaikan. Ciri-ciri teknikal yang saya sebutkan di atas adalah gaya mengurus iaitu diuruskan dengan cekap. Pengurusan yang cekap sahaja belum cukup, dalam masa yang sama kandungan yang disampaikan hendaklah bermutu.


Mencipta Bot

Mari saya terangkan langkah demi langkah mencipta bot untuk kegunaan sendiri. Artikel ini saya mahu sampaikan secara menyeluruh supaya anda menjadi pengurus saluran yang betul-betul cekap dengan cara yang betul.

Langkah 1: Guna BotFather

  • BotFather adalah bot untuk mencipta bot baharu dan menguruskan bot sedia ada.
  • Untuk membuat bot sendiri, pergi ke @BotFather dan hantar arahan (command) /newbot maka anda akan diminta untuk memilih nama bot, berikan nama yang dikehendaki.
  • Setelah berjaya memberikan nama, anda menerima API Token. Simpannya dengan baik dan jangan kongsikan kepada umum.
  • Guna arahan /setuserpic untuk menetapkan foto profil.
  • Guna arahan /mybots untuk lakukan suntingan terhadap bot sedia ada.

Langkah 2: Tambah saluran ke dalam bot

Mengawal saluran dengan beberapa fungsi kawalan penting boleh dilaksanakan dengan @ControllerBot. Ciri-ciri yang terdapat pada bot ini ialah: Mencipta Kiriman, Kiriman Berjadual, Butang URL, Butang Reaksi, Butang Komen dan Suntingan terhadap kiriman sedia ada.

Untuk menambah saluran, lakukan dua langkah berikut:

  • Tambah bot yang anda cipta sebentar tadi sebagai pentadbir di dalam saluran yang hendak digunakan.
  • Kemudian kirimkan ke dalam @ControllerBot sebarang mesej daripada saluran sebagai pengesahan.

Jika anda memiliki lebih daripada satu saluran, tambah saluran ke dalam bot yang sama. Guna arahan /addchannel dan ulang dua proses di atas. Pada tahap ini urusan menambah saluran ke dalam bot telah sedia untuk digunakan, syabas anda berjaya!

Saluran Blogger Malaysia

Ikuti saluran Blogger Malaysia untuk terima berita terkini bagi blog ini

Saya amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Ikuti saya di Twitter dan saluran Blogger Malaysia.