Sedarkah kita semua tentang tatasusila berkomunikasi dengan orang lain? Walaupun di aplikasi perbualan kita tidak bersua muka, tatasusila hendaklah dijaga sepanjang masa kerana ia juga mencerminkan sikap kita.
Jangan lakukan perkara ini
Berikut disenaraikan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
1. Jangan tanya soalan kurang bijak
Mahu bertanya soalan biarlah nampak kematangan, soalan seperti ada acara pendakian keesokannya kemudian soalan yang ditanya:
“Esok nak pakai pakaian hiking ke…”
“Pergi hiking boleh tak pakai selipar je?”
2. Mengulangi soalan yang sama
Budaya malas membaca boleh mendatangkan masalah juga sebagai contoh ketika di dalam kumpulan perbualan sesuatu soalan sudah ditanya tetapi ditanya lagi oleh orang lain.
3. Memaksa individu yang ditanya menjawab segera
Jangan memaksa individu yang ditanya menjawab segera soalan yang kita ajukan. Setiap orang memiliki tanggungjawab sendiri, kita tidak tahu apa yang orang itu sedang lakukan.
Jangan pula buat panggilan meminta agar dia menjawab segera, berikan masa untuk seseorang itu selesaikan tugas penting yang lebih utama daripada media sosial.
4. Suka menghantar kandungan seperti video, gambar atau berita yang tiada kaitan
Kandungan yang tiada kaitan adalah tidak relevan, boleh mengundang tekanan juga kadangkala. Contohnya hal ehwal politik negara disebarkan di dalam kumpulan yang salah, kumpulan melancong misalnya.
Jangan andaikan orang lain memiliki minat yang sama dengan kita.
5. Mengajak orang lain melihat kiriman yang dibuat di media sosial
Ada juga individu yang suka mengajak ahli di dalam kumpulan perbualan supaya melihat kiriman yang dia lakukan di media sosial. Perkara ini juga dikira melanggar tatasusila berkomunikasi di dalam kumpulan perbualan lebih-lebih lagi kumpulan itu yang ahlinya umum bukan di kalangan kawan rapat.
6. Menggunakan singkatan perkataan dan bahasa yang hanya difahami diri sendiri
Sebaiknya gunalah ejaan penuh dengan betul dan penggunaan ayat yang tepat. Zaman sekarang ini, hanya segelintir individu yang tidak terpengaruh dengan corak bahasa ringkas akibat daripada bahasa perbualan yang kerap dihantar melalui mesej.
Perhatikan kiriman-kiriman yang dibuat di media sosial termasuk komen, lihat bagaimana anak-anak muda menulis ayat, ada yang sampai kita sebagai pembaca terpaksa teka singkatan ejaan yang digunakan. Lebih parah lagi, konteks ayat yang tidak betul.
7. Bersembang antara rakan sendiri seolah-olah tiada orang lain baca
Ada juga rakan di dalam kumpulan yang suka mention nama orang tertentu untuk berbual topik tertentu tetapi dibuat di dalam kumpulan yang dapat dibaca oleh semua orang. Jika keadaan seperti ini, sila mesej secara peribadi.
8. Promosi atau menjual produk
Promosi tidak dibenarkan sama sekali, apatah lagi menjual produk. Lihat kembali kepada tujuan kumpulan perbualan itu, jika ia adalah kumpulan perbualan khas bagi komuniti penduduk, berbincanglah tentang topik berkaitan komuniti sahaja.
9. Sindiran dan tidak hormat orang lain
Elakkan sama sekali menyindir orang lain di dalam kumpulan perbualan. Jika ada masalah tolonglah berbincang dengan orang berkenaan secara berhemah.
Kesimpulan
Mudah sahaja menjaga tatasusila berkomunikasi ini, jangan lakukan 9 perkara yang disenaraikan di atas sudah cukup. Jadilah individu yang disenangi oleh semua orang. Berbuat baik dan tidak menyinggung perasaan sesiapapun.
Ketika mahu bertanya, susun ayat dengan baik supaya orang lain mudah faham. Apabila membalas pertanyaan pula, amalkan jawapan yang ringkas dan tepat.