Terbitkan Artikel Featured

6 perkara penting untuk terbitkan artikel

Kerja yang sistematik seharusnya memiliki piawaian, begitu juga dalam menerbitkan artikel di blog. Ia tidak boleh dibuat sesuka hati kerana artikel yang diterbitkan akan diindeks oleh Google.

Perkara khusus berikut iaitu judul, permalink, imej rencana, format kiriman berserta petikan dan keterangan meta hendaklah dibuat sebaik mungkin ketika sedang berada di proses menyiapkan artikel.

Selepas 6 perkara ini sempurna, barulah artikel itu dikira bersedia untuk diindeks oleh Google dan dibaca oleh pelawat.

1. Judul artikel

Judul yang betul memberikan gambaran umum terhadap isi kandungan yang hendak ditulis.

Contoh artikel yang diterbitkan
Gambar 1: Contoh artikel yang diterbitkan, mengandungi imej rencana, judul dan petikan kiriman.

Judul artikel hendaklah jelas

Judul artikel hendaklah jelas dan tidak terlampau ringkas sehingga tidak menyampaikan maksud yang sepatutnya kepada pembaca.

Contoh 1
  • Jangan buat: Kesalahan bahasa.
  • Sepatutnya seperti ini: Kesalahan bahasa yang biasa dilakukan oleh pelajar baharu.
Contoh 2
  • Jangan buat: Artikel berkesan.
  • Sepatutnya seperti ini: Teknik menulis artikel yang berkesan.

2. Permalink

Permalink jangan selalu ditukar-tukar yang boleh mengakibatkan pelawat gagal untuk akses kiriman dan ia juga memberikan kesan buruk untuk SEO. Sebagai penerbit, fikirkan dengan teliti betulkah permalink itu boleh digunakan sampai bila-bila.

Judul dan permalink
Gambar 2: Judul dan permalink.

Slug adalah bahagian di dalam permalink selepas nama domain dan direktori, ia merujuk terus kepada artikel itu sendiri.

Sunting permalink
Gambar 3: Suntingan slug boleh dibuat pada bahagian kanan editor atau boleh juga klik butang edit yang terdapat di atas judul.

Judul dan slug tidak semestinya sama, yang perlu dipastikan ialah slug memberikan maksud yang jelas untuk artikel itu. Contoh gambar di atas, artikel berjudul BigPay menawarkan banyak kelebihan kepada pengguna, slug diringkaskan menjadi “kelebihan-bigpay”.

Jika permalink ditukar selepas artikel diterbitkan, redirection perlu dibuat. Kita mahu elak daripada banyak kali membuat redirection.

3. Imej rencana

Imej rencana adalah imej utama sebagai kulit kepada artikel. Ia disebut featured image di dalam Bahasa Inggeris. Perbincangan lanjut tentang imej rencana sudah diterbitkan pada artikel yang lepas, boleh klik pada artikel berkaitan di bawah.

Imej rencana
Gambar 4: Pergi ke bahagian Featured Image untuk memasukkan imej rencana.
Contoh media
Gambar 5: Contoh media yang digunakan pada artikel Mewujudkan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

Keterangan untuk Gambar 5

  1. Nama fail jika boleh diseragamkan dengan judul imej nampak lebih sistematik dan menggunakan kata kunci yang sama.
  2. Saiz fail selepas melakukan optimasi.
  3. Ukuran imej rencana yang ideal ialah 1920 x 1280 pixels kerana apabila bertukar tema, ukuran imej ini sudah cukup besar untuk disesuaikan dengan pelbagai tema.
  4. Alternative text adalah penting, jangan kosongkan ruangan ini.
  5. Judul imej.
  6. Uploaded to bermaksud imej ini secara terus dimuatnaik dari dalam artikel bukan ditambah dahulu di media library kemudian baharu digunakan di dalam artikel.
Imej Rencana Featured

Imej rencana penting kepada sesebuah artikel

Imej rencana ialah imej yang dipaparkan pada bahagian hadapan sesebuah artikel.

4. Format kiriman

Guna format kiriman yang bersesuaian sama ada ia adalah standard, imej, galeri, audio ataupun video.

Fahami tema yang digunakan kerana kadangkala imej rencana tidak dipaparkan untuk format standard, ia bergantung kepada pembangun tema tersebut. Jika anda sememangnya faham perkara ini dan boleh menyunting fail PHP, itu tiada masalah.

Format kiriman
Gambar 6: Guna format kiriman yang betul berdasarkan kepada tetapan tema masing-masing.

Jika kerap menggunakan format kiriman yang sama, adalah lebih baik terus ditetapkan menjadi default pada bahagian tetapan. Pergi ke Settings > Writing dan tetapkan seperti di bawah:

Tetapan menulis
Gambar 7: Tetapan menulis.

5. Petikan kiriman

Petikan kiriman adalah mukadimah iaitu pengenalan ringkas kepada artikel. Ia juga keluar sebagai ringkasan di halaman arkib, di dalam WordPress ia dipanggil post excerpt.

Petikan kiriman
Gambar 8: Contoh petikan kiriman pada artikel.

Petikan kiriman seperti yang ditunjukkan pada Gambar 8 bukan ditaip di blok perenggan di dalam editor, ia memanfaatkan fungsi excerpt di dalam WordPress.

Fungsi excerpt membolehkan anda bebas menggayakan petikan kiriman dengan CSS, sebab itu saya selalu menekankan supaya menjadi penulis blog yang tahu aspek teknikal.

Direktori fail
Gambar 9: Kebiasaannya penulis tema menetapkan single.php untuk bahagian kiriman.

Pada fail PHP, post excerpt dimasukkan seperti ini.

<?php if ( has_excerpt() ) : ?>
<div class="single-excerpt">
   <?php echo get_the_excerpt(); ?>
</div>
<?php endif; ?>

Class yang digunakan pada petikan kiriman seperti contoh di atas, saya namakan ia sebagai “single-excerpt“. Pada fail CSS, single-excerpt itu digayakan seperti berikut:

.single-excerpt{
   position: relative;
   font-size: 20px;
   font-weight: bold;
   margin-bottom: 2em
}
.single-excerpt:first-child:first-letter{
   float: left;
   font-size: 50px;
   line-height: 50px;
   font-weight: normal;
   color: #b2b2b2!important;
   padding-top: 4px;
   padding-right: 8px;
   padding-left: 3px
}
@media only screen and (max-width:479px){
   .single-excerpt{font-size: 18px}
}

Lihat pada Gambar 10 di bawah, petikan kiriman tidak ditaip di blok perenggan. Blok perenggan terus dimulai dengan isi kandungan artikel. Hasilnya petikan kiriman akan keluar seperti Gambar 8 pada halaman artikel dan seperti Gambar 1 pada halaman arkib.

Menulis petikan kiriman
Gambar 10: Menulis petikan kiriman seperti ini, ia akan keluar pada artikel dan juga arkib.

Setelah memahami 5 langkah ini, tibalah giliran untuk langkah terakhir iaitu keterangan meta.

6. Keterangan meta

Keterangan meta akan keluar pada Google snippet iaitu paparan artikel ketika di halaman SERP Google.

SERP Google
Gambar 11: Search engine ranking page (SERP) Google kelihatan seperti ini.

Secara umum, ia memaparkan judul dan keterangan. Oleh itu, sebelum terbitkan artikel sila pastikan perkara ini sempurna:

SEO Keterangan meta
Gambar 12: Selepas pasang pemalam SEOPress, bahagian ini akan ada pada setiap kiriman.
  • Judul jika boleh tidak melebihi 60 patah perkataan.
  • Keterangan meta pula dalam lingkungan 160 patah perkataan. Ambil peluang menggunakan keterangan yang dapat menarik perhatian pembaca.

Itu sahaja perkara penting yang menjadikan artikel itu cukup sifatnya.